BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, April 19, 2007

Malam Tadi, Tuhan Menegurku

Malam tadi aku sekali lagi mengalami mimpi yang aneh. Aku mendaki sebuah gunung yang tinggi, melihat panorama hutan dara di suatu tempat yang tidak aku dikenali. Pohon-pohon besar berlumut tumbuh subur, seperti pengawal-pengawal peribadi yang melindungi gunung itu, daripada sebarang angkara dan niat berdosa.

Aku menunaikan solat di puncak gunung itu. Kemudian aku lihat ramai, ramai anak-anak kecil. Barangkali bunian.

Juga malam tadi aku melihat pelbagai keanehan. Ini semua adalah fakta yang terkandung di dalam Al-Quran. Apabila dibaca pengertian dan susunan ayat-ayat itu, maka jelaslah segala yang dilihat di dalam mimpi malam tadi.

Kesemua keanehan ini menjawab persoalan-persoalan yang timbul sebelum ini. Aku kini memiliki akses jawapan terhadap segala permasalahan dalam kehidupanku terdahulu dan akan datang.

Apa yang aku lihat itu adalah terlalu sulit untuk digambarkan di sini. Namun, Tuhan seolah-olah telah menegurku. Dia seolah-olah membisikkan sesuatu ke dalam hatiku. Teguran-teguran ini sudah semestinya supaya aku dapat memperbaiki diri aku menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang. Aku memahami betapa kasihnya Tuhan ini kepada hamba-Nya. Dia sedia memaafkan kesalahan hambanya.

Ini adalah teguran Tuhan. Dia mahu aku menjadi lebih baik. Lalu biar aku rahsiakan kesemua keanehan yang kulihat malam tadi. Namun catatan ini akan menjadi akses penting untuk aku, sekiranya berlaku apa-apa kepada diriku pada masa akan datang.

Tulisan-tulisan di dalam jurnal ini, adalah sumber resap segara untuk mengembalikan semula ingatan-ingatanku, pada suatu hari nanti.

Cuti ini aku akan cuba menulis sebuah buku. Jika dahulu aku menghasil karya-karya tumpang, sekarang sudah sampai masa untuk aku bergerak solo, menulis sebuah buku sekurang-kurangnya.

Aku berharap ini akan menjadi satu kejutan untuk dia. Aku mahu menulis buku ini diam-diam mengenai dia. Kebetulan, aku sudah sempurna mencipta satu teknik menulis yang unggul. Aku mahu menguji keberkesanan teknik ini sekarang. Sekiranya berjaya, maka teknik ini akan ditambah lagi dengan struktur peringkat kedua.

Ketika itu, aku tidak akan berhenti melangkah lagi. Aku akan terus ke hadapan. Selepas berjalan aku akan berlari, selepas berlari aku akan memecut, selepas memecut..... .... ... .. .

Kemudian, akan masanya untuk aku mewarisi pengalaman dan pengetahuan aku kepada generasi muda, dan aku akan berehat, mengisi ruang-ruang terakhir hidupku.

Kerana aku sudah berjanji dengan Tuhan yang menegur aku, di dalam mimpi aku malam tadi. Aku tahu Dia amat menyayangi aku...

Aku harap Dia meredhai aku, memberkati aku, mempermudahkan segala urusanku, menjaga kesihatanku, menambahkan rezekiku, membuka ruang-ruang kejayaan kepadaku, memberi lapangan kepada aku untuk menebus dosa-dosa aku yang terdahulu. Setiap manusia di dunia ini tidak ada yang sempurna, dan Tuhan itu sangat-sangat, Maha Pemurah.

Alhamdulillah.