BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, April 27, 2007

Keluarga Bahagia Mampu Lahirkan Pekerja Amanah dan Produktif

Hari ini saya sempat membaca artikel tulisan Prof Madya Dr Salwani Daud (Pensyarah dan AJK Wanita JIM) yang dipaparkan menerusi Berita Harian mengenai keluarga bahagia dan apakah fungsinya dalam melahirkan pekerja amanah.

Sebelum kita bincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pekerja amanah dan produktif, terlebih dahulu ingin saya petik beberapa istilah dan ayat-ayat penting mengenai keluarga bahagia dan pekerja yang terdapat di dalam artikel tersebut. Antaranya:


Produktiviti:
Dalam era globalisasi ekonomi yang sangat dinamik, takrifan produktiviti juga dinilai semula dengan membawa maksud lebih luas dan dikaitkan dengan nilai insan iaitu konsep keberkesanan atau berkualiti.

Produktiviti Pekerja:
Produktiviti pekerja bukan setakat menghasilkan produk atau perkhidmatan dengan penjimatan kos, tetapi produk atau perkhidmatan perlu berkualiti seperti menepati cita rasa pelanggan, menepati masa yang diperlukan dan layanan mesra kepada pelanggan.


Hubungan Harmoni dengan Produktiviti Pekerja
Hubungan yang harmoni dengan Allah adalah hubungan utama yang akan mendorong pekerja untuk terus menjadi produktif dan sentiasa ingin memperbaiki cara kerja serta melaksanakan tugasannya dengan penuh tanggungjawab.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Hubungan harmoni dalam rumah tangga akan melahirkan ketenangan emosi dan seterusnya menjadi pemangkin untuk melahirkan pekerja produktif. Jika pekerja mempunyai masalah dengan suami atau isteri, mereka tidak dapat memberi tumpuan terhadap kerja.


Begitulah apa yang dapat saya teliti berdasarkan artikel PM Dr Salwani Daud. Seterusnya biar kita teliti hal-hal yang bagaimana menyebabkan wujudnya produktiviti dalam sesuatu pekerjaan yang dilakukan? Apakah definisi pekerja? Hal ini boleh dikaji berdasarkan penelitian terhadap satu ayat Quran yang berbunyi:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah al-Zaariyat, ayat 56).

Dalam erti kata lain, wujudnya perkara-perkara ibadat, di mana, setiap pekerjaan yang kita lakukan itu mestilah dengan niat "Bismillah" iaitu dilakukan sesuatu perkara itu adalah kerana Allah. Penting sekali setiap pekerjaan kita itu mendapat keredhaan Allah.

Saya sangat bersetuju jika konsep produktiviti ini bukan sahaja dikaitkan dengan aspek kemahiran dan kepakaran, tetapi juga harus melibatkan aspek kemanusiaan. Produktiviti tidak seharusnya terhad kepada keuntungan, malah harus juga diambil kira faktor-faktor seperti peningkatan budi bahasa, kematangan dan kemahiran generik.

Sekiranya sesuatu perkara produktiviti itu hanya difokuskan kepada perkara-perkara seperti material sahaja, saya rasa ini akan membawa kepada pemesongan, di mana manusia akan lebih tertumpu terhadap teknologi dan usaha-usaha ke arah keduniaan sahaja. Oleh itu, wajar sekali disemai satu definisi baru berkaitan dengan pekerja produktif.

Bagi saya, pekerja produktif haruslah didefinisikan sebagai pekerja yang memperlihatkan keputusan dari segi peningkatan kualiti dan kuantiti daripada dua perkara iaitu nilai-nilai material dan nilai-nilai kemanusiaan.

Nilai-nilai material dalam aspek ini berkaitan dengan keuntungan dan kejayaan sesuatu pihak atau organisasi manakala nilai-nilai kemanusiaan ini berkaitan dengan tingkah laku, cara berfikir dan moral seseorang pekerja.

Dengan adanya keseimbangan dari segi kepakaran dan moral, maka sesuatu organisasi itu pasti mencapai tahap yang lebih tinggi.

Kejayaan sesuatu organisasi banyak bergantung kepada sifat ikhlas, jujur dan amanah ahli-ahlinya. Apabila ahli atau pekerja di sesebuah syarikat itu bekerja dengan penuh amanah maka pekerja itu akan menjadi lebih produktif dan mampu menjana ekonomi yang lebih baik untuk sesebuah syarikat.

Sifat amanah juga mampu membawa kepada kesepakatan dan seterusnya kebahagiaan. Apabila ahli-ahli dalam sesuatu organisasi mempunyai kata sepakat, maka konflik dapat dielakkan kerana setiap ahli memfokus pada matlamat yang sama untuk dicapai dalam organisasi. Hal yang sama juga boleh berlaku dalam konteks kekeluargaan.

Keluarga yang bahagia terdiri daripada ahli-ahli yang amanah. Setiap ahli keluarga bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri dan terhadap ahli-ahli keluarga yang lain. Ini adalah sifat amanah. Konteks keluarga dan syarikat tidaklah jauh bezanya. Jika dalam syarikat terdapat majikan yang memberi arahan, dalam keluarga pula terhadapnya bapa atau penjaga sebagai ketua keluarga.

Keluarga yang bahagia akan menghasilkan anak-anak yang cemerlang dan amanah. Sudah semestinya tunjang atau model dalam keluarga itu ialah ibu bapa itu sendiri. Begitu juga dalam syarikat, apabila majikan menjadi model yang baik, amanah dan bertanggungjawab terhadap pekerja-pekerjanya, maka semestinya sifat ini akan mempengaruhi para pekerjanya.

Sifat amanah dalam keluarga akan dibawa ke tempat kerja. Bapa yang amanah dan bertanggungjawab dalam keluarga akan hadir di tempat kerja sebagai seorang pekerja yang mahu mencari wang dan meningkatkan pendapatannya untuk menyara keluarganya. Demi memastikan berkatnya hasil pendapatannya itu nanti, dia pasti akan menjalankan kerja dengan penuh tanggungjawab, bimbang dengan istilah "makan gaji buta". Ini kerana gaji yang diperolehinya itu nanti bakal disuapkan kepada anak-anak dan isterinya.

Demi meningkatkan taraf hidup keluarga, seorang bapa atau ibu atau anak-anak yang sudah bekerja pasti akan berusaha untuk bekerja dengan tekun dan amanah supaya dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan. Seringkali kita dengar, pekerja di syarikat swasta lebih produktif berbanding pekerja di badan-badan kerajaan. Adakah ini kerana pekerja tersebut memikirkan soal produktiviti untuk meningkatkan pendapatan dan bonus?

Saya tinggalkan persoalan ini untuk para pembaca yang sudah bekerja dan juga bagi pembaca yang sudi untuk memikirkan hal-hal ini untuk mencari makna kehidupan yang lebih cemerlang dan bahagia...

Sekian.