BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, April 29, 2007

Kadangkala Rekabentuk Sendiri Yang Buruk Itu Lebih Bermakna

Aku telah kembali ke rekabentuk asal. Malam tadi aku sempat menonton Akademi Fantasia 5. Seperti biasa aku menunggu persembahan Aizat. Seperti biasa? Aku rasa baru dua atau tiga kali aku sempat menonton AF5. Pertama ketika bertemakan kemanusiaan, kedua... aku tidak pasti apa temanya, itu pun semasa aku sedang makan malam. Ketiga, malam tadi, bertemakan budaya Melayu.

Malam tadi ada kejutan, ada mesej kekeluargaan.
Mengenai ibu bapa. Aku melihat Aswad sayu lagi. Namun malam tadi mungkin malam yang paling gemilang untuk AF5, setakat ini. Sebab aku ada mendengar banyak khabar mengenai konsert AF5 yang hambar, tidak menarik dan tidak dapat meninggalkan kenangan buat para penonton. Malam tadi, Fauziah Ahmad Daud menangis, barangkali masih teringatkan pemergian ayahnya.

Aku tidak menonton rancangan itu sampai habis.
Biasanya selepas habis makan, aku akan segera berangkat meninggalkan kafe tersebut. Jadi aku tidak tahu apa keputusannya. Keputusan siapa yang terkeluar tidak penting, sebab, apabila seorang itu tekun dan melaksanakan tanggungjawabnya dalam satu-satu bidang, dia sememangnya layak untuk mendapat masa depan yang baik, biarpun terkeluar awal. Kejuaraan bukan faktor penting untuk para peserta mendabik dada, untuk sentiasa berada di atas.

Bercakap mengenai kekeluargaan, bercakap mengenai rekabentuk blog, aku dapati kedua-duanya adalah perkara yang 'sama'. Tidak semua orang mendapat keluarga yang baik. Namun keluarga yang baik itu boleh direkabentuk.

Kelmarin aku mengubah blog. Tiba-tiba aku rindukan
rekabentuk blog lama, lalu aku kembali ke blog ini. Seperti rindunya kita kepada keluarga kita. Kepada ibu bapa kita. Ada manusia yang bernasib baik mendapat ibu bapa yang penyayang, namun ada juga yang tidak memiliki ibu bapa. Walau bagaimana buruk atau teruknya ibu bapa itu, bagaimana seorang anak itu mampu untuk mengabaikan ibu bapanya?

Mengenai kisah tujuh orang anak dengan... Hm. Setiap orang pasti melalui pelbagai kenangan dalam keluarganya. Begitu juga dengan rekabentuk blog, biar pun kalau-kalau hodoh, aku tetap menyukai dan menghargai rekaan aku.

Ramai orang dapat menerima kekurangan rekabentuk blognya, kerana blog itu adalah milik mereka. Mereka menggubah kod dan menghias blog mereka. Biarpun tidak cantik, mereka tetap berpuas hati. Seperti satu keluarga...

Kadangkala rekabentuk sendiri yang buruk itu lebih bermakna, sebab itu pengalaman aku, bukan pengalaman orang lain. Aku melalui sendiri menerusi blog ini, oleh itu aku menghargainya.

Inikah dinamakan, keajaiban dalam dunia blog?