BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, April 01, 2007

DETIK BERSEJARAH: Pertemuan Amiene Rev Dengan ZH

Hari ini aku berpeluang bertemu dengan ZH. Ini bukan nama sebenarnya, sebagaimana aku juga menggunakan nama samaran Duke Amiene Rev, maka dia juga menggunakan nama samaran ZH. Cara kami tampak ada persamaan.

ZH adalah orang yang pernah memimpin Kelab Penyayang dan membawa mahasiswa-mahasiswa UTM sebagai tutor ke Rumah Barkat. Sesiapa yang pernah membaca catatan peribadiku, pasti akan mengetahui kisah Rumah Barkat, dan bagaimana aku dapat berkenalan dengannya.

Hari ini, selepas tamat mesyuarat, seorang lelaki berkaca mata, berbaju kuning dan memikul beg, muncul di celah daun pintu yang sedikit terbuka. Akhirnya, aku berpeluang bertemu dengannya. Usianya cuma berbeza setahun dengan usiaku. Pertemuan kami barangkali ditakdirkan, bermula dari kali pertama aku menjejakkan kaki ke Rumah Barkat, kemudian mengetahui kewujudan Kelab Penyayang. Kami berbicara, mengisi waktu petang itu untuk berbual dan bertukar-tukar fikiran berkaitan dengan matlamat kami yang setara.

ZH mempunyai personaliti yang menyenangkan. Aku rasa aku mungkin boleh bersahabat baik dengannya. Kami mempunyai matlamat yang sama. Sejak kali pertama aku menjejakkan kaki ke Rumah Barkat, aku sudah berjanji dengan diri aku, semua anak-anak yatim di Rumah Barkat adalah anak-anak emasku. Dengan izin Allah, aku akan bersedia untuk membantu anak-anak ini.

Nampaknya, dengan adanya teman-teman seperjuangan ini, aku rasa, aku sudah mampu untuk tersenyum dengan lebih lebar. Lebih menggembirakan lagi, apabila aku mengetahui antara barisan pelapis untuk Kelab Penyayang, terdiri daripada junior-junior aku sendiri yang berada di Tahun Satu. Dengan yang demikian, aku rasa, tidak perlu bimbang lagi.

Teori aku mengenai, senior borek, junior rintik, nampaknya semakin benar (ketawa: aku bergurau sahaja, semuanya adalah kebetulan). Junior-junior aku menurun, mewarisi sesuatu daripada senior-seniornya. Alhamdulillah.

Hai, anak-anak emasku di Rumah Barkat. Kekesalan aku kerana tidak dapat melaksanakan sesuatu untuk kalian, kali ini pasti akan dapat ditebus. Aku dan ZH sudah berbincang mengenai sesuatu yang akan dilaksanakan bagi memastikan kalian yang berada di Tingkatan 5, mendapat sesuatu.

Semoga dengan keredhaan-Nya, usaha ini diberkati dan dapat berjalan dengan lancar pada semester hadapan.