BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, April 19, 2007

Anime dan Manga: Tanggungjawab Berat Kartunis dan Animator Dalam Mendidik Anak Bangsa

Pernahkah anda dengar bagaimana kartun dan animasi dapat diaplikasikan untuk mendidik anak-anak kecil? Apa yang hendak dididik? Bagaimana cara mendidik? Anak-anak zaman sekarang kebanyakannya sudah bosan dengan cara didikan yang skema.

Mereka mahukan perubahan. Mereka suka mendekati perubahan dan pembaharuan. Namun, adakah itu bermaksud kita harus meletakkan unsur-unsur yang merosakkan di dalam karya kita? Bahasa kesat? Tingkah laku watak-watak yang biadab sebagai bahan lawak?


Animasi Jepun dan Animasi Tempatan

Pernahkan anda menonton animasi-animasi Jepun. Cuba hayati lagu-lagu tema mereka? Adakah mengenai percintaan? Tidak. Lagu-lagu tersebut kebanyakannya adalah mengenai mengenai motivasi.

Kata-kata seperti: "Jangan mudah putus asa. Mesti kuat berusaha. Perbaiki hubungan sesama manusia. Jangan ambil kisah dengan kegagalan lalu. Tidak ada manusia yang sempurna. Sekali gagal, apabila berusaha boleh berjaya lagi."

Lirik dan lagu yang menarik dan menyentuh rasa. Jepun membesarkan anak-anak mereka dengan animasi yang diselaraskan dengan modenisasi.

Dahulu kita ada animasi Keluang Man. Lagu tema animasi ini menarik juga. Tidak silap saya lagu ini adalah nyanyian Krisya.

Animasi Jepun kebanyakannya tidak muncul begitu sahaja. Animasi-animasi ini berasal dan bersumberkan manga yang ditulis oleh rakyat Jepun itu sendiri. Kita ada manga? Apa pelukis manga kita buat? Cerita apa? Cerita bermakna, dengan tema yang kritis dan mendalam atau kisah yang merapu? Cerita yang membicarakan persoalan-persoalan yang menjana minda atau perkara-perkara yang remeh-temeh?

Perhatikan manga Team Medical Dragon, Doraemon, Slam Dunk, Gundam, Samurai X, Full Metal Alchemist dan sebagainya. Susunan bahannya adalah menarik. Struktur sejarahnya jelas. Pemikiran penulis yang kritis dalam satu-satu perkara.

Bagaimana pula Naruto? Animasi popular ini memotivasikan kanak-kanak untuk memberi sumbangan terhadap masyarakat sekitar. Biar pun dicemuh, dihina dan dipandang negatif oleh pihak-pihak tertentu. Watak-watak utama dalam manga ini tidak bertindak negatif, sebaliknya mengambil langkah positif untuk memperbaiki diri dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

Barangkali Mat-Mat Rempit juga patut mencontohi watak-watak utama ini. Begitu juga dengan para pendatang asing di negara ini, mereka juga patut mengubah tanggapan orang ramai.

Oh, saya kasihan dengan nasib warga Myammar yang terlibat dengan kes kehilangan Yin tempoh hari. Moga Tuhan melindungi orang-orang yang benar dan menghukum orang-orang yang salah.

Animasi Jepun tidak mensasarkan kanak-kanak, tetapi juga warga dewasa. Namun tidak semua animasi atau manga Jepun itu baik. Manga Jepun terdiri daripada pelbagai kategori. Antaranya Shounen (manga untuk pembaca lelaki), Shoujo (manga untuk pembaca feminin, karektor-karektornya sentiasa kelihatan ayu) dan Hentai (manga untuk bacaan dewasa).

Bagi sesiapa yang pernah membaca animasi dan manga Naruto, cuba buat perbandingan antara animasi Naruto kelas filler (episod atau jalan cerita yang tidak terdapat di dalam manga) dengan berasaskan manga, mana lebih berkesan?

Kita dapati jalan cerita yang ditulis berasaskan manga, iaitu buah fikiran pelukis manga tersebut lebih berkesan. Ada jiwa. Ada rasa. Ada penghayatan dalam pergerakan dan ucapan kata-kata watak-wataknya.

Begitu juga di Malaysia. Kartunis harus bergabung dengan animator. Gabungan untuk menghasilkan animasi yang terbaik. Deria penglihatan dan deria pendengaran boleh digunakan untuk memberi kesan positif kepada anak-anak.

Animasi adalah unsur didikan. Jangan kata bakat melukis itu sia-sia. Tidak ada satu pun bakat itu sia-sia. Kalau anda berbakat melukis dan menyertai dunia lukisan, jangan pula anda penuhi hidup anda dengan kartun-kartun yang cuma mampu membasahkan gusi para pembaca anda. Gunakan bakat anda untuk mencipta jalan-jalan cerita yang menarik dan bermotivasi.


Teguran Buat Pelukis Kartun dan Manga Tempatan

Gunakan bahasa yang betul. Jangan jadi pelukis kartun dan perosak bahasa. Tidak berkat hidup anda kerana mengkhianati bangsa sendiri. Suatu hari nanti, apabila anda tekun menghasilkan cerita kartun-kartun yang baik, tidak skema dan bermotivasi, cerita-cerita kartun anda itu boleh dijadikan animasi yang menarik dan luas pasarannya.

Sudah tahu bukan? Kenapa Tuhan kurniakan bakat melukis kepada anda? Kenapa anda memilih untuk jadi pelukis? Jangan jadi pelukis semata-mata untuk kepuasan sendiri. Itu mementingkan diri namanya! Didik anak-anak bangsa kita supaya belajar untuk berbakti kepada masyarakat. Didik anak-anak bangsa kita kita supaya rajin berusaha.

Kartun remeh temeh untuk santai? Santai apa? Ketika anak-anak bersantai membaca kartun, isi cerita kartun itu pula berunsur merosakkan. Adakah anda sedar anda bertanggungjawab mewujudkan bangsa kurang ajar dan biadab menerusi kartun-kartun anda? Bahasa kesat, bahasa mencarut, bahasa kurang ajar memenuhi kotak-kotak dialog kartun-kartun anda?

Sanggupkah anda? Berdosa manusia-manusia yang menghasilkan karya-karya yang menjadi ikutan ramai ini. Sanggupkah anda membiarkan kartun-kartun dengan dialog yang sia-sia dan berunsur negatif itu menguasai minda anak-anak anda? Anda kata karya anda umum. Semua orang boleh baca. Semua orang ketawa. Semua orang ikut apa yang anda tulis.

Pelukis kartun tempatan mempunyai peranan dan tanggungjawab besar sebagai pendidik. Sedar peranan anda. Hargai diri anda. Anda juga adalah idola bagi sesetengah remaja. Jaga bahasa kartun-kartun anda. Perjelaskan pengajaran di dalam karya-karya anda. Olah biar menyentuh jiwa anak-anak muda kita. Itu tanggungjawab anda. Anda gagal laksanakan tanggungjawab anda sebagai kartunis, anda berdosa. Anda mengkhianati bangsa anda sendiri.

Pernahkah anda dengar kata-kata ibu atau bapa kepada anak-anak mereka?

"Baca buku kartun lagi!"

"Jangan beli majalah kartun lagi! Tak berfaedah!"

"Baca Majalah _________ (kartun) lagi!"

"Boleh tak baca buku yang berfaedah selain daripada buku kartun tu?"

Apa maknanya semua ini? Anda tidak dihargai. Karya-karya anda dipandang negatif kerana anda telah mengkhianati perjuangan bangsa kita. Anda serap unsur-unsur tidak sihat menerusi penggunaan bahasa yang tidak sopan, dan tema-tema yang tidak membawa remaja ke arah kebaikan.

Jangan kerana anda dipandang serong, anda terus tidak mahu berubah, merajuk, lalu bertindak menghasilkan karya-karya negatif. Lakukan perubahan. Ambil tindakan positif. Hasilkan karya-karya yang dapat membentuk identiti bangsa, budaya bahasa bangsa.


Karya Tidak Dinilai Dari Segi Temanya, tetapi Menerusi Mesej dan Cara Penyampaiannya

Kadangkala, suatu karya yang berbentuk fantasi dan tahyul itu lebih baik daripada idea yang berkaitan dunia nyata, sekiranya isi kandungan karya tersebut mengandungi pelbagai unsur pengajaran dan didikan moral. Cerita yang bagus mengandungi mesej yang bertujuan menjulang sifat-sifat kemanusiaan ke arah yang lebih positif ditekankan secara berkesan.

Contohnya filem Dorm atau Dek Khor dari Thailand. Ini adalah filem seram. Temanya mengenai hantu. Namun saya beranggapan cerita ini mempunyai moral yang baik. Cerita ini juga berkaitan dengan persahabatan dan sifat keprihatinan sesama kawan. Saling ambil berat antara satu sama lain. Fungsi sebenar persahabatan. Peranan ibu bapa dan penjaga. Garapan ceritanya menarik. Saya akan mengulas cerita ini pada masa akan datang.

Maafkan saya kalau kata-kata ini menyinggung perasaan anda sebagai kartunis. Ada kartunis yang baik, ada kartunis yang mengkhianati (sama ada secara sengaja atau tidak sengaja). Kadangkala mereka melakukan khianat secara terang-terangan. Kita tidak sedar. Tidak ada manusia yang sempurna. Oleh itu, kita wajar saling tegur menegur.

Sekian. Selamat berkarya!