BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, April 27, 2007

Adakah Ini Salah Tanggap Sesetengah Mufti Mengenai Definisi Program Realiti?

Sekali lagi, saya menemui satu perkara yang menarik untuk diulas dalam blog ini. Saya terbaca mengenai salah tanggap sesetengah mufi berkaitan dengan program realiti yang disiarkan di televisyen. Saya berminat untuk memetik sedikit tulisan Serimah Salehudin menerusi artikel "Tidak Semua Program Realiti Memudaratkan" yang dipaparkan di Berita Harian Online.

PETIKAN 1: "Bagaimanapun, ada sesetengah pihak menganggap kehadiran program realiti melalaikan. Di dalam laporan Berita Harian, Selasa lalu, beberapa mufti meminta stesen televisyen menghentikan program realiti kerana disifatkan sebagai bertentangan dengan nilai dan hukum agama, melalaikan dan disifatkan sebagai membazir."

PETIKAN 2: Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar juga berpendapat sama dengan Azhar. Menurutnya, ada juga program realiti yang memberi harapan cerah kepada peserta seperti program terbaru terbitan 8TV iaitu Project Runaway, Give Me A Job yang memberi peluang kepada peserta mencari tapak untuk mengembangkan bakat dimiliki.

Maka, berdasarkan dua petikan di atas, menerusi entri ini, saya sekali lagi ingin mengulas dan mengenai maksud sebenar program realiti.


Definisi Program Realiti

Setelah melihat dan mengkaji pelbagai sumber, saya dapat membuat satu tanggapan maksud mengenai program realiti. Program realiti merupakan suatu program yang tidak melibatkan skrip dalam mencapai objektif tertentu. Tidak ada perancangan awal siapakah pemenang dan siapakah yang kalah.

Menonton program realiti seolah-olah kita menonton perlawanan bola sepak secara langsung di kaca televisyen. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Sama ada peserta tercedera, peserta menarik diri, dilayangkan kad merah dan sebagainya. Namun, semua peserta terikat dengan syarat-syarat awal yang telah dijelaskan oleh penerbit atau pengacara program.


Program Realiti Merupakan Satu Cara Mengesan Bakat Individu

Kewujudan program realiti merupakan satu alternatif dan juga pencabar terhadap manusia-manusia yang berpegang teguh terhadap prinsip status akademik yang tinggi sebagai simbol kecemerlangan masa depan. Menerusi program realiti, ada manusia yang memiliki kelulusan akademik yang rendah atau sederhana tetapi masih mampu mengatasi manusia-manusia yang memiliki status akademik yang tinggi. Kenapa boleh terjadi sebegini? Jangan hairan, mari kita bincangkan hal ini dengan lebih lanjut.

Program realiti boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang kerjaya dan lapangan ilmu. Kita lihat MyTeam contohnya, merupakan satu cara mencari bakat pemain bola sepak yang berjaya. Begitu juga Nescafe KickStart yang merupakan program realiti yang sangat baik dalam membentuk karier warganegara Malaysia.

Sistem berorientasikan peperiksaan di Malaysia menyebabkan para pelajar di sekolah tidak dapat menerokai keunikan bakat semulajadi pada diri masing-masing dengan lebih mendalam. Mereka dididik dengan fahaman, jika mahu cemerlang harus dapat 8A, 9A dan sebagainya.

Pengambilan pelajar-pelajar di peringkat IPT lebih banyak menjurus ke arah keputusan peperiksaan yang dicapai. Hal ini menyebabkan ramai pelajar yang memiliki bakat terpendam tidak dapat maju menerusi laluan masa depan berdasarkan syarat kelulusan dan pencapaian akademik.

Kepercayaan orang ramai mengenai hanya dengan memiliki status pengiktirafan akademik yang tinggi barulah boleh berjaya menyebabkan ramai orang lupa mengenai potensi terpendam dalam diri sendiri. Kalau benarlah status pengiktirafan akademik seperti memiliki ijazah itu dianggap sebagai penyelamat masa depan, kenapa masih ada golongan profesional yang pada akhirnya menjadi pengemis? Kenapa ada bekas pengetua sekolah yang mengemis?

Kerana taksubnya sesetengah golongan manusia terhadap pencapaian akademik yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan ramai manusia mula berpendapat, hal sendiri lebih penting berbanding hal-hal membabitkan masyarakat. Manusia lebih tertumpu terhadap pembelajaran secara individu dan pencapaian individu kerana menganggap manusia lain sebagai saingan. Sekiranya tidak berjaya mengatasi pesaing-pesaing lain dalam pencapaian akademik, peluang pekerjaan akan terjejas. Hal ini telah mencemar semangat kekitaan yang sebelum ini cuba dipupuk menerusi Kerja Kursus Sejarah yang perlu dilaksanakan oleh murid-murid sekolah. Percaya atau tidak? Ha. Ha.

Hal ini menyebabkan wujudnya ramai golongan yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang tetapi kurang berupaya dalam hal-hal untuk melaksanakan sesuatu tugas dalam dunia realiti. Menerusi kewujudan program realiti seperti The Apprentice, Survivor di Barat, kita dapat membezakan antara manusia yang memiliki kemahiran generik dengan tidak.

Kita melihat bagaimana para peserta bekerjasama antara satu sama lain untuk terus kekal dalam rancangan tersebut sehinggalah pada akhirnya hanya seorang sahaja yang bakal dipilih sebagai juara.


Program Realiti Sebagai Satu Bentuk Pendidikan Terbuka

Saya mencadangkan agar program realiti dikaji sebagai satu bentuk pendidikan secara terbuka. Rasionalnya di sini, ramai manusia belum sedar apakah kebolehan puncak mereka yang sebenarnya. Mawi contohnya memiliki aura sosial yang tinggi dan banyak membantu dalam soal-soal kemasyarakatan, sebagai idola terhadap golongan belia dan remaja. Walau pun kadangkala sering diperkecilkan oleh sesetengah pihak, Mawi tetap memainkan peranan penting dalam aspek kemanusiaan, berjasa dan berbakti kepada masyarakat menerusi hiburan.

Sebenarnya inilah kejayaan tersirat yang berjaya dicapai menerusi Akademi Fantasia. Selain itu, saya juga tertarik dengan pasukan Bola Sepak MyTeam yang lahir menerusi program realiti. Begitu juga rancangan Nescafe KickStart. Sekarang, saya berminat untuk melihat hasil produk bakat baru dalam perniagaan menerusi rancangan Kaliber.

Sesungguhnya, program realiti itu boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang. Menerusi program realiti, kita akan dapat mencari bakat-bakat luar biasa dalam sesuatu bidang. Saya sangat gembira sekiranya kerajaan dan stesen televisyen tempatan berusaha untuk menganjur pelbagai program realiti yang bermotifkan pendidikan, contohnya mencari genius dalam bidang kejuruteraan, arkitek, komputer, penulisan, matematik, pendidikan, ekonomi, perubatan, sukan, pelancongan dan sebagainya.

Sudah sampai masanya bidang-bidang diaplikasikan ke dalam program realiti agar ramai lagi bakat-bakat dalam pelbagai bidang dapat digilap dan seterusnya menjalankan tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat.

Kesimpulannya, baik atau buruknya sesuatu program realiti itu terletak pada konsepnya dan bagaimana pihak penerbit menganjurkannya.


Program realiti pertama di dunia:

Boleh dikatakan, rancangan Allen Funt's Candid Camera, yang bermula pada tahun 1948 di ABC dikatakan sebagai bapa kepada semua jenis program realiti. Candid Camera juga juga memiliki program radio yang dipanggil Candid Microphone, di mana Allen Funt merakamkan dan menyiarkan rungutan tidak puas hati para petugas di Armed Forces Radio.

Walau bagaimana pun, hanya Program 'An American Family' yang boleh dianggap sebagai program realiti moden yang pertama. Siri ini, yang disiarkan menerusi PBS di Amerika Syarikat pada tahun 1973, mengisahkan mengenai keluarga nuklear yang mahu bercerai.

Genre ini telah wujud dalam pelbagai bentuk dan menjadi benar-benar popular sekitar tahun 2000.

Sumber: 4to40.com