BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Januari 14, 2007

Banjir Kota Tinggi

Sekarang saya sudah memiliki komputer riba sendiri. Bayar ansuran. Di Kelantan ada bayaran ansuran, dekat KB Mall. Hari ini saya terbaca berita mengenai banjir di Kota Tinggi, lalu keluar gambaran kisah seperti ini:

Orang kampung risau. Air sudah naik ke paras atap. Barang-barang yang dapat diselamatkan mungkin akan menjadi arwah juga. Tiba-tiba datang sebuah bot.

"Wah! Syukur ke hadrat Ilahi. Sudah ada penyelamat yang datang!" Maka apabila bot itu sampai ke tempat mereka, maka berebutlah orang kampung untuk naik ke bot itu. Mereka memunggah barang-barang secekap mungkin ke atas bot.

"Jangan sampai tenggelam sudahlah," kata pemandu bot.

"Terima kasih. Moga Tuhan membalas jasa..." si orang kampung merangkap mangsa banjir melihat si pemandu bot menekan kalkulator.

"Err... anggaran kerugian ya?" Mangsa banjir meneka.

"Semua sekali, termasuk barang kamu dan diri kamu, tambangnya ialah 30 ringgit. Namun, saya bagi diskaun, kamu bayar 25 ringgit sajalah."

Mangsa banjir tercengang-cengang.

Saya tidak tahu, kenapa perkara sebegini boleh berlaku. Tidak sangka ada orang yang sanggup mengambil kesempatan dalam hal-hal kecemasan begini. Adakah wang lebih penting berbanding nyawa manusia? Sama-sama kita renungkan.

Dalam soal itu, apabila melihat keadaan banjir ini dan apabila saya mengaitkan dengan kisah yang berlaku ini, tiba-tiba saya terfikir sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 ini, jika banjir ini dijadikan satu peluang pelancongan. Bagaimana jika ada pihak yang kreatif mengadakan Pesta Sukan Air atau Sukan X-Treme Air di kawasan banjir? Ini sudah tentu idea gila. Namun kalau baik jika pendapatan yang berasaskan aktiviti ini disumbangkan untuk mangsa-mangsa banjir.

Dalam keadaan hujan ini, saya tidak begitu berminat untuk melayari internet (sambungan WiFi) komputer riba saya. Bimbang jika komputer riba saya terkena air. Juga, setiap kali hujan turun, hati saya akan berasa terharu dan agak sedih. Sedih dan sayu mengenangkan jasad-jasad yang sedang tidur di dalam tanah. Bagaimana keadaan mereka?

Apabila musim hujan, terlintas seribu satu nostalgia. Sekian, saya beransur dulu.