BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Januari 01, 2007

Adat-adat Perkahwinan

Bangsa Melayu kaya dengan adat. Adat merupakan penghormatan terhadap satu pihak daripada satu pihak yang lain. Adat dapat mengeratkan hubungan. Adat juga diciptakan berdasarkan pengalaman orang-orang dahulu kala. Adat-adat perkahwinan orang Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat atau fasa seperti berikut:

  1. merisik,
  2. meminang,
  3. menghantar tanda,
  4. hantaran belanja,
  5. menjemput,
  6. akad nikah,
  7. berinai besar,
  8. bersanding
  9. jemput menantu.


Merisik

Merisik. Diambil daripada kata risik atau siasat. Dalam keadaan ini, keluarga pihak lelaki atau keluarga pihak wanita akan menziarahi rumah keluarga pihak yang ingin dijadikan besan. Tujuaannya adalah untuk saling kenal-mengenal dan mengetahui status si gadis atau si teruna sama ada sudah berpunya atau belum.



Meminang
Apabila sudah mendapat persetujuan daripada dua-dua pihak, meminang akan dilaksanakan. Wakil dari kedua-dua pihak akan dihantar untuk meminang. Perkara-perkara yang dibincangkan semasa meminang termasuklah hantar belanja, persalinan dan tempoh bertunang.
Jawatan Ketua Adat dan Ketua Syarak biasanya diwujudkan, dan orang-orang ini akan bertanggungjawab dalam mengendalikan urusan meminang dan seterusnya.


Menghantar tanda
Tanda di sini berkaitan dengan cincin pertunangan. Juga dipanggil sebagai cincin penanda atau cincin tanda. Ini menunjukkan individu tersebut sudah ditanda, iaitu sudah berpunya. Biasanya dibuat majlis pertunangan. Dalam majlis ini, akan turut dibincangkan mengenai urusan perkahwinan.



Hantaran belanja
Kedua-dua belah pihak akan diketuai oleh Ketua Syarak atau Ketua Adat. Wang hantaran akan dihantar dan digubah dalam pelbagai bentuk yang menarik. Selain wang, turut dihantar bunga rampai, sirih junjung atau tepak sirih, pahar telur merah, nasi semangat, alat solek, buah-buahan dan sebagainya.

Adat ini dipercayai ada kaitannya dengan pengaruh budaya Hindu.



Menjemput
Menjemput di sini bermaksud memberitahu dan mengajak orang-orang kampung untuk datang ke majlis perkahwinan yang bakal diadakan. Kenduri biasanya akan dimulakan di rumah pengantin perempuan.



Akad nikah
Akad nikah merupakan perkara wajib dalam perkahwinan, berkait rapat dengan keagamaan. Imam akan mewakili wali perempuan, menjadi juru nikah, sambil berdepan dengan bakal pengantin lelaki. Selepas selesai akad nikah, maka sahlah sudah pasangan suami isteri. Dalam upacara ini, juga disahkan hantaran dan lain-lain. Mas kahwin disebut sama ada hutang atau tunai. Selepas akad nikah, biasanya akan diadakan upacara berinai dan bersanding.

Mas kahwin ini adalah untuk kegunaan suami isteri. Boleh dikatakan sebagai belanja kehidupan suami isteri yang baru berkahwin.



Berinai besar
Pengantin akan berpakaian seperti golongan bangsawan dan raja-raja. Warna baju pengantin lelaki dan perempuan adalah sama. Pengantin lelaki akan datang ke rumah pengantin perempuan dengan iringan kompang. Pengantin akan duduk di atas pelamin. Inai akan dipakaian ke kuku dan hujung jari pengantin lelaki terlebih dahulu oleh ahli keluarga pengantin.



Bersanding
Pada hari persandingan, jamuan diadakan secara besar-besaran di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki serta rombongannya akan diarak dan diiringi dengan selawat dan pukulan rebana dari rumahnya atau tempat persinggahannya ke rumah pengantin perempuan. Hantaran akan dibawa bersama jika ia belum dihantar terlebih dahulu.

Hari persandingan atau kenduri kahwin atau majlis perkahwinan, akan diadakan secara besar-besaran di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki akan diarak dan diiringi dengan selawat dan pukulan kompang dari satu tempat khusus, kebiasaannya rumah keluarga pihak lelaki atau rumah sanak-saudaranya, menuju ke rumah pengantin wanita. Hantaran akan turut dibawa bersama.



Jemput menantu
Majlis jemput menantu atau ‘menyambut menantu’ diadakan di rumah pengantin lelaki. Biasanya diadakan pada hari-hari bilangan ganjil, iaitu hari ketiga, kelima atau ketujuh. Selepas tinggal di rumah pengantin wanita, pasangan pengantin akan pergi pula ke rumah pengantin lelaki.