BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 11, 2006

Remaja Akses Internet Tanpa Wayar Tanpa Kebenaran Didakwa Di Mahkamah

SINGAPURA, 11 November: Seorang pelajar politeknik di sini menjadi orang pertama yang didakwa di mahkamah atas tuduhan menggunakan sambungan Internet orang lain tanpa kebenaran bagi melayari laman web, lapor sebuah akhbar tempatan.

Straits Times melaporkan bahawa Garyl Tan Jia Luo, 17, didakwa di Mahkamah Rendah semalam atas tuduhan menggunakan komputer riba bagi melayari Internet melalui rangkaian tanpa wayar untuk kediaman pada 13 Mei tahun ini.

Jika sabit kesalahan, Tan, yang dikenakan ikat jamin S$6,000, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun serta denda tidak lebih S$10,000 mengikut Akta Penyalahgunaan Komputer republik ini.

Akhbar itu berkata kes berkenaan timbul berikutan laporan polis yang dibuat oleh jiran remaja berkenaan.

Kes ini dijangka menarik perhatian pengguna Internet di sini dan di Malaysia kerana ia merupakan kes pertama seumpamanya yang dibawa ke mahkamah.

Selama ini, kebanyakan pengguna Internet tidak pasti sama ada perbuatan menggunakan isyarat sambungan tanpa wayar orang lain yang mudah dikesan oleh komputer riba atau alat bantuan peribadi digital (PDA), merupakan suatu kesalahan.

Sesetengah mereka berpendapat bahawa oleh kerana pemilik isyarat itu tidak menggunakan kata laluan bagi melindungi sambungan tanpa wayar mereka daripada diceroboh, maka orang lain boleh menggunakannya, terutama apabila isyarat berkenaan memasuki rumah mereka.

Pengguna lain pula menyifatkan perbuatan yang dikenali sebagai wardriving ini sama seperti menceroboh dan kesalahannya lebih serius apabila pelakunya terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang secara dalam talian.

sumber: BERNAMA


Ulasan: Sistem dan keupayaan teknologi maklumat semakin canggih dan semakin mudah diakses di mana-mana. Hal ini juga menuntut pihak-pihak berkuasa untuk mewujudkan pelbagai undang-undang baru bagi membendung pelbagai kesan buruk yang akan timbul hasil kebebasan globalisasi yang wujud. Sistem keselamatan semasa melayari internet perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan pencerobohan data. Cubaan mengakses talian internet tanpa kebenaran boleh membawa pelbagai masalah apabila orang yang mengakses tanpa kebenaran itu menggunakan peluang itu untuk melakukan pelbagai kegiatan yang menyalahi undang-undang secara dalam talian.