BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, November 06, 2006

Isu Derma Organ Dan Rempit

Beberapa hari yang lalu, ketika menaiki sebuah bas, pulang dari bandaraya, kedengaran beberapa orang remaja membuat bising, bergelak ketawa dan bergurau di dalam bas. Tiba-tiba salah seorang ahli kumpulan remaja itu mendapat panggilan telefon mengatakan salah seorang saudaranya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Semua ahli kumpulan remaja itu diam seketika. Daripada apa yang saya tahu, abang kepada remaja itu adalah Mat Rempit. Tiba-tiba terlintas untuk menulis dialog ini.

"Oho, merempit ya? Mana kad pengenalan. Lesen ada?" Sergah pegawai JPJ.

"Dengan jujur saya mengaku kedua-duanya saya tak ada, encik. Jangan la saman saya encik. Saya saja-saja mengisi masa lapang dengan merempit ni, encik."

"Disebabkan awak jujur, saya pun ada satu alternatif lain untuk awak. Kalau awak tak nak kena saman, boleh, tapi dengan satu syarat..."

"Syarat?"

"Kau kena daftar sebagai penderma organ. Kau tahu tak, setiap tahun kira-kira 6000 orang mati akibat nahas jalan raya dan bilangan itu bermakna terdapat 12,000 buah pinggang yang berpotensi untuk didermakan." Jawab pegawai JPJ. (sumber Utusan Malaysia, 4 November 2006. Petikan kata: Dr. S. S Gill, Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan.)

"Eh, macam mana kalau pinggang saya patah, encik?"

"Mata engkau pun boleh."

"Mata saya banyak tengok benda-benda tak elok."

"Jantung engkau."

"Jantung saya dah bagi dekat
awek saya, encik."

"Paru-paru engkau."

"Saya merokok."

"Tulang sumsum engkau."

"Kalau semua tak boleh?"

"Bayar saman..." Pegawai JPJ tersenyum simpul.

"Baiklah encik, saya kalau begitu, bersetuju untuk jadi penderma organ."

Beberapa bulan selepas itu. Ketika keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Seorang pelajar yang menderita penyakit buah pinggang berjaya buktikan dia mampu menjadi pelajar terbaik SPM dan mendapat 10A. Berikut kata-kata pelajar itu:

"Saya sebenarnya nak berterima kasih kepada penderma organ, sebab kerana dia, saya mampu kembali berjalan dan meneruskan kehidupan ini. Saya hampir-hampir putus asa, namun selepas berjaya mendapat buah pinggang yang baru, semangat belajar saya terus meningkat dan hasilnya saya mendapat 10A. Saya, dengan buah pinggang ini, akan terus memburu kejayaan supaya dapat berbakti kepada masyarakat, bangsa dan negara."

Sementara itu di sebuah pusara, seorang ibu kepada seorang Mat Rempit membawa keratan akhbar itu.

"Anakku, lihatlah. Kau dilahirkan sebagai manusia yang tidak berguna. Tetapi buah pinggangmu berjaya menjadikan seseorang manusia yang lain berjaya dan kelak berguna di mata dunia. Kau hidup sebagai manusia yang tak berguna, tetapi selepas kau mati, wahai anakku, kau telah 'hidup'sebagai manusia yang berjasa."

Ibu itu berlalu sambil menitiskan air matanya. Terharu. Moga Tuhan mengampuni dosa mat rempit itu.
Ketahuilah, Mat Rempit dilahirkan untuk menjadi penderma organ. Bebaskan diri anda dari belenggu dadah, arak dan HIV positif.

Dialog ini cuma cerita rekaan saya sahaja. Sekiranya dialog dalam cerita ini ada menyinggung perasaan sesiapa, maka saya di sini memohon sepuluh jari dan mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.