BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 12, 2006

Hala Tuju Anak Anda Selepas UPSR dan PMR

Find Your Destiny Through UnityKeputusan UPSR dijangka bakal diumumkan sekitar tarikh 17 November 2006. Sebagai ibu bapa, apa perasaan anda? Sebagai seorang Abang atau Kakak, apa perasaan anda? Sebagai seorang Guru, apa perasaan anda? Apa pandangan anda mengenai keputusan UPSR? Bagaimana pula dengan PMR?

Adakah anda fikir cuma anak yang mendapat 4A, 5A dalam UPSR, dan 7A, 8A dalam PMR sahaja yang bakal meraih masa depan gemilang dalam hidupnya? Bagaimana anda boleh membuat penilaian awal yang terlalu dangkal ini terhadap anak anda? Tahukah anda bahawa anak anda mempunyai potensi yang mungkin anda sendiri telah salah tafsir keupayaannya dalam satu-satu bidang dan telah salah faham dengan tingkah laku serta kecenderungan minat anak anda sendiri. Jangan sekali-kali dalam hati anda wujud kata-kata, anak aku ini seperti aku juga tidak cemerlang. Pantang sekali anda berkata, anak aku ini biasa-biasa saja, asalkan dia tamat belajar dan dapat kerja cukuplah. Salah! Mungkin, anda sendiri pun tak tahu apa potensi anda. Ubah pemikiran anda.

  1. Kalau tak dapat bagus dalam UPSR/PMR tak apa. Keputusan SPM paling penting.
  2. UPSR/PMR adalah harapan untuk anak saya melanjutkan pengajian di sekolah yang lebih bagus.
  3. UPSR/PMR ni cuma nak menilai kebolehan anak saya. Saya nak tengok kebolehan anak saya.

Antara 1, 2 dan 3, mana agaknya yang paling rapat dengan pendapat anda mengenai UPSR? Ada orang berpendapat SPM paling penting, sebab ada sesetengah budak dapat keputusan yang elok semasa UPSR dan PMR tetapi tidak pula menyerlah di peringkat SPM. Secara realitinya, perkara seperti ini pernah berlaku. Namun apa sebenarnya yang berlaku?

Setiap anak mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza terhadap sesuatu bidang. Secara umumnya anak anda boleh dibahagikan kepada beberapa kecenderungan pembelajaran atau kecerdasan tertentu. Anak anda memiliki pakej dalam bidang-bidang tertentu.

Semasa di peringkat sekolah, terdapat banyak pilihan yang boleh dipilih untuk anak anda. Namun pastikan apa yang anda sarankan untuk anak anda itu sesuai dengan kecenderungan dan kecerdasannya. Apabila anak anda mula memasuki sekolah menengah, pastikan anda mengesan perubahan tingkah laku anak anda. Apakah bidang yang dia mula menunjukkan kecenderungannya. Adakah dia berminat dalam hal-hal artistik seperti lukisan dan muzik? Pidato? Catur? Matematik? Rekacipta? Sains? Logik? Berniaga? Membaiki motosikal? Kejuruteraan? Binaan Bangunan? Kereta? Komputer? Pengaturcaraan? Elektronik? Perubatan? Tumbuh-tumbuhan? Binatang Peliharaan? Sukan? Pembimbing Rakan Sebaya? Kaunseling? Motivasi? Permainan? Persatuan? Penulisan? Kepimpinan? Bahasa Arab? Hal-hal keagamaan? Angkasa lepas? Dasar lautan? Ikan? Masakan? Jahitan? Basikal? Hoki? Bola Sepak? Pengurusan? Kemanusian? Kebajikan? Radio? Mengembara? Ketenteraan?

Cuba lihat pencapaiannya dalam PMR? Apakah yang paling baik? Adakah Matematiknya atau subjek-subjek aliran sastera seperti Bahasa Melayu, Sejarah? Bahasa Arab? Ini penting untuk menentukan hala tuju anak anda nanti. Sebaik-baiknya anak anda itu nanti diletakkan dalam bidang yang sesuai semasa di tingkatan empat. Pastikan anda prihatin dengan cita-cita dan pandangan anak anda mengenai masa depannya. Minta bantuan kaunselor atau guru kaunseling di sekolah untuk melihat bakat anda? Cuba minta maklumat berkaitan prospektus kerjaya, ujian personaliti, gaya pembelajaran dan kecenderungan anak anda.

Sebagai seorang ibu atau bapa kepada anak anda, jangan malu berjumpa kaunselor. Tidak semestinya apabila ada masalah disiplin atau masalah peribadi sahaja baru mahu bertemu dengan guru kaunseling sekolah. Ini pandangan yang salah, tidak bijak dan tidak matang. Jika anda ibu bapa yang prihatin, buktikan. Jangan jadikan alasan kesibukan waktu kerja sebagai penghalang. Jangan korbankan masa depan anak-anak anda. Anda harus berani berdepan dengan majikan anda dalam soal-soal seperti ini. Jika majikan anda orang yang bijaksana dan matang, dia sepatutnya memberi laluan kepada anda. Ini soal masa depan. Apa yang anak anda boleh lakukan untuk memberi sumbangan terbaik untuk negaranya?

Anda bertuah sekiranya anak anda mendapat 8A atau lebih dalam pengajiannya. Mungkin anak anda berpeluang untuk masuk dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan akademik. Jika Matematik dan Sainsnya sangat cemerlang, anak anda memang harus digalakkan untuk melanjutkan pengajiannya ke sekolah bestari, sekolah sains, sekolah agama, sekolah berasrama penuh atau sekolah teknik. Sebelum itu, tanya anak anda, apakah cita-citanya? Apakah minatnya? Adakah minatnya itu sejajar dengan kebolehannya?

Jika dia minat untuk jadi doktor, ahli biologi, ahli kimia, saintis, maka bidang yang sesuai untuknya sudah pasti
Aliran Sains Tulen yang banyak ditawarkan di sekolah harian, sekolah sains dan sekolah berasrama penuh. Jika dia berminat dalam hal-hal berkaitan teknologi dan kejuruteraan, sekolah teknik merupakan tempat terbaik untuk dia kembangkan bakatnya. Jika anak anda berminat dalam soal-soal berkaitan kemanusiaan, bahasa arab, sosial dan keagamaan, sekolah agama adalah tempat terbaik untuknya. Jika anak anda minat dalam hal-hal berkaitan dengan kesusasteraan, perakaunan, perdagangan dan ekonomi, Aliran Sastera atau Aliran Perdagangan itu yang terbaik. Pilih sekolah-sekolah di mana wujudnya guru-guru yang bermotivasi, guru-guru yang bersemangat tinggi untuk anak anda. Sebaik-baiknya anda memiliki maklumat berkaitan dengan guru-guru yang mengajar dalam bidang tersebut.

Katakan anak anda bercita-cita mahu menjadi akauntan, maka pastikan anda mengambil berat soal soal pelajaran anak anda terutama dalam subjek Prinsip Akaun, Perdagangan, Sejarah, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Cuba hubungi guru-guru tersebut sekurang-kurangnya sebulan sekali. Tanya perkembangan anak anda.

Jangan tunggu hingga Hari Mesyuarat Agung PIBG sahaja untuk menemui guru anda, sebab ketika itu susah untuk anda meluangkan masa dengan guru-guru tersebut. Ramai ibu bapa datang nak jumpa satu-satu guru. Guru terpaksa menghadkan masa pertemuan dan perbincangan dengan anda. Oleh yang demikian, anda harus bertemu janji dengan guru-guru ini dan jumpa mereka pada masa lapang anda. Atau telefon mereka pada waktu malam, barangkali. Cuba tanya mengenai anak anda di dalam kelas, apa masalah yang wujud. Masalah pembelajaran? Masalah kecenderungan?

Apabila anda ada hubungan erat antara anda sebagai ibu bapa dengan guru anak anda, maka guru itu sudah pasti akan timbul rasa bertanggungjawab untuk mendidik anak anda. Hubungan yang profesional antara guru sebagai pemberi khidmat dengan anak anda sebagai klien akan semakin erat. Cubalah. Wujudkan hubungan yang erat antara guru dengan ibu bapa. Jangan tunggu PIBG sahaja. Guru bukan sahaja kawan atau ibu bapa angkat anak anda malah guru adalah saudara anda, sahabat anda sebagai ibu bapa.

Saya masih ingat semasa adik saya masih bersekolah dulu, apabila pulang ke kampung, saya akan ke sekolah, bertanya guru mengenai hal-hal adik saya dalam pelajaran. Saya tanya adik saya, siapa guru yang mengajar subjek itu dan ini. Akhirnya adik saya juga menjadi Pelajar Terbaik SPM, merangkul Anugerah Pelajar Mithali dan kini cemerlang dalam pengajiannya. Cita-citanya sebagai doktor sudah ditetapkan sejak dia di tingkatan empat. Kini dia dalam haluan yang sebaik-baiknya. Apa lagi yang boleh saya banggakan terhadap kejayaannya, sebagai seorang abang. Moga-moga Adik saya ini akan mengatasi pencapaian saya dan memberi sumbangan yang berguna untuk masyarakat.

Mungkin ada di kalangan ibu bapa yang pening kepala dengan sikap anak anda yang tidak mahu belajar. Semakin malas apabila masuk ke peringkat sekolah menengah. Anda anda nampaknya suka bersukan. Dia memiliki badan yang cergas. Jarang beri tumpuan dalam pelajaran, apabila sebut soal bola sepak, takraw, badminton, bola tampar, hoki dan sebagainya, mengantuknya hilang. Penatnya langsung terpadam. Maka, anak anda mungkin sesuai mengikuti pengajian dalam bidang Sains Sukan. Subjek ini ada ditawarkan untuk pelajar-pelajar Tingkatan Empat. Di peringkat universiti juga terdapat banyak universiti yang menawarkan bidang berkaitan Sains Sukan. Peluang anak anda lebih cerah. Pastikan anak anda terlibat secara aktif dalam bidang sukan semasa di peringkat sekolah lagi. Seelok-eloknya minat anak anda dalam bidang sukan dikesan sejak dia berada di sekolah rendah lagi. Atau selewat-lewatnya semasa dia di tingkatan satu.

Galakkan anak anda melibatkan diri dalam pelbagai jenis bidang sukan dan permainan untuk melihat dan menilai kebolehan bersukan yang ada pada dirinya. Apakah jenis permainan yang paling sesuai, terbaik untuk masa depannya. Adakah dia berbakat dalam hoki? Adakah dia berbakat dalam bola sepak? Adakah dia berbakat dalam sepak takraw? Atau bola keranjang? Atau Olahraga? Atau Tenpin Boling? Atau Badminton? Gimnastik? Renang? Memanah? Berkuda? Jika anak anda betul-betul berkebolehan dalam bidang ini, maka hala tujunya semasa di tingkatan empat nanti sebaik-baiknya dalam bidang Sains Sukan.

Saya tertarik dengan sikap seorang bapa. Semua anaknya memasuki bidang sukan. Bapa ini selalu memberi perhatian kepada anak-anaknya dalam bidang sukan. Sering mengunjungi sekolah dan bertemu dengan jurulatih. Bukan sahaja anak dia, malah anak-anak orang lain juga.

Beruntung anak itu ada bapa seperti ini. Anaknya sudah mewakili Malaysia beberapa kali dan membawa pulang emas untuk Malaysia dalam pertandingan di peringkat Asia. Bapa seperti ini yang kita mahu. Seorang bapa yang berpendirian teguh. Seorang wira kepada anak-anaknya. Tidak kira walaupun bapa ini seorang yang sempurna fizikalnya mahu pun cacat. Semangat dan kesedaran itu paling penting!

Anda bila lagi? Jadilah ibu bapa yang cemerlang!