BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 12, 2006

Contoh Kaedah Kajian Sejarah atau Geografi Tempatan

PANDUAN KAEDAH KAJIAN DAN CONTOH-CONTOH TINDAKAN / AKTIVITI YANG BOLEH DIAMBIL OLEH GURU DAN PELAJAR SEMASA MELAKUKAN KAEDAH-KAEDAH KAJIAN

Kaedah utama kajian yang digunakan dalam menjalankan Kajian Sejarah Tempatan ialah:
  • Temuramah
  • Lawatan dan pemerhatian
  • Analisis dokumen atau artifak


A. Kaedah Temuramah

Definisi:
Temuramah merupakan salah satu kaedah tinjauan dalam penyelidikan. Ia melibatkan pertemuan pertemuan pengkaji dengan responden (orang sumber) untuk mendapatkan maklumat. Dalam mendapatkan maklumat, Pengkaji mestilah menyediakan satu instrumen (alat kajian). Alat kajian ini terdiri daripada soalan-soalan yang disediakan oleh pengkaji dan diaju serta dijawab secara lisan.



Persediaan Awal - Sebelum Melakukan Temuramah:

Tindakan Guru:
  • Mengenal pasti orang sumber
  • Membuat temu janji dengan orang sumber
  • Membimbing pelajar membina item-item soalan diikuti dengan penerangan tentang soalan tambahan.
  • Membantu pelajar menyediakan peralatan seperti pita rakaman, pita video, kamera dan alat tulis.
  • Menyemak dan membetulkan draf soalan yang disediakan oleh pelajar.
  • Membantu pelajar membentuk kumpulan.

Tindakan Pelajar:
  • Memilih tajuk kajian.
  • Membentuk kumpulan masing-masing.
  • Mengagihkan tugas mengikut kumpulan.
  • Membina soalan temuramah.
  • Mengenal pasti bahan yang sesuai.
  • Menyediakan buku catatan aktiviti/senarai semak.
  • Membuat rujukan untuk mendapatkan maklumat awal tentang orang sumber.
  • Memperbaiki soalan temuramah selepas diperbetulakn oleh guru.



Soalan Temuramah

Temuramah hendaklah dijalankan dalam bentuk perbualan dan dalam suasana mesra, mengikut situasi dan keadaan serta orang sumber yang ditemuramah.

Soalan-soalan temuramah boleh dibina berdasarkan perkara berikut:
  • Nama penuh.
  • Tarikh dan tempat lahir.
  • Latar belakang keluarga.
  • Latar belakang pendidikan dan pengalaman.
  • Sumbangan-sumbangan penting terhadap sekolah.
  • Sumbangan-sumbangan terhadap masyarakat setempat/sekeliling sekolah.
  • Visi dan falsafah hidup.
  • Sifat-sifat istimewa.
  • Anugerah / sijil penghargaan


Proses Temuramah

Berikut adalah panduan tatacara yang boleh membantu pelajar dalam sesi temuramah:
  • Menemui orang sumber secara berkumpulan di tempat dan masa yang ditetapkan.
  • Mengemukakan soalan-soalan kepada orang sumber.
  • Mendapat maklumat dari orang sumber sama ada secara bertulis atau rakaman kaset.
  • Mengemukakan soalan-soalan susulan secara spontan jika sekiranya orang sumber tidak dapat memberi maklumat dengan tepat kepada soalan asal yang dikemukakan.
  • Merekod dan merakam dan mengambil gambar semasa sesi temuramah.
  • Mendapatkan tandatangan orang sumber bagi mengesahkan temuramah di dalam buku catatan aktiviti pelajar.
  • Menunjukkan sopan santun, budi bahasa dan mematuhi peraturan-peraturan dan tatacara ketika menjalankan temuramah.

Menyusun dan menganalisis maklumat
  • Menyusun maklumat mengikut aspek-aspek yang dikaji.
  • Membincang mengenai maklumat yang telah disusun dengan ahli kumpulan.
  • Menganalisis fakta-fakta kajian.

Menyediakan Laporan
  • Menulis draf laporan kajian yang telah dijalankan.
  • Guru menyemak draf laporan.
  • Memperbaiki hasil laporan setelah disemak oleh guru.


B. Kaedah Lawatan dan Pemerhatian

Definisi:
Lawatan dan pemerhatian adalah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat memberi peluang kepada pelajar memerhati dan mengkaji sesuatu secara langsung di luar bilik darjah. Dalam menjalankan Kajian Sejarah Tempatan, pelajar boleh membuat lawatan dan pemerhatian semasa menjalankan kajian tentang asal usul nama tempat/nama jalan, bangunan dan tempat bersejarah, pertumbuhan dan perkembangan penduduk, perkembangan infrastruktur dan kemudahan asas, peristiwa bersejarah, tradisi setempat, lagenda dan cerita rakyat serta pentadbiran setempat. Sebaik-baiknya lawatan dan pemerhatian dibuat di dalam kumpulan.



Persediaan Guru
  • Guru membuat tinjauan atau penyelidikan ke tempat yang hendak dilawati untuk mendapatkan maklumat terlebih dahulu bagi memastikan matlamat Kajian Sejarah Tempat yang dirancang dapat dicapai.
  • Guru membantu pelajar merancang lawatan dan pemerhatian. Butir-butir yang lengkap mengenai law atan dan pemerhatian itu hendaklah diusahakan oleh guru terlebih dahulu seperti menetapkan tarikh, masa dan pengangkutan.
  • Pelajar perlu dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Pembahagian tugas kepada pelajar juga perlulah ditentukan seperti melakar, memerhati, mengumpul risalah dan membuat catatan.
  • Pelajar juga perlu dibimbing untuk membina soalan-soalan sebelum lawatan dan pemerhatian dijalankan. Soalan-soalan ini hendaklah dapat mencungkil maklumat yang akan menjurus kepada tajuk yang dikaji.



Kaedah Analisis Dokumen

Pelbagai dokumen boleh digunakan bagi mendapatkan maklumat dalam masa menjalankan Kajian Sejarah Tempatan. Ini termasuklah dokumen sumber pertama dan sumber kedua. Surat-surat perjanjian, sijil lahir, sijil nikah, catatan, gambar, peta, surat khabar, majalah, buku log, rekod, mata wang, risalah dan sebagainya. Guru perlu membimbing pelajar mencungkil maklumat daripada dokumen semasa menjalankan KST.

Di Tingakatan 1, pelajar akan menganalisis dokumen seperti sijil lahir, sijil mati, sijil nikah, kad pengenalan, sijil perhargaan dan sebagainya semasa pelajar dan sebagainya semasa pelajar menjalankan kajian tentang sejarah diri dan keluarga.

Bagi tajuk Sejarah Sekolah pula, pelajar perlu menganalisis fail-fail yang mengandungi rekod-rekod tentang semua perkara yang berhubung dengan sekolah seperti fail PIBG, rekod kemasukan pelajar, rekod tentang guru dan Pengetua dan kelab/persatuan yang wujud di sekolah itu.

Begitu juga dengan dokumen ini membolehkan pelajar melihat dan mengkaji sumber pertama, meyakinkan pelajar tentang ketepatan fakta yang dikemukakan, dapat memahami sesuatu peristiwa dengan lebih bermakna dan dapat meningkatkan kemahiran mentafsir, menganalisis, menilai, membuat perbandingan dan merumus fakta sejarah.

Dokumen ini diperolehi daripada Arkib Negara, Muzium Negeri, Muziun Negara dan orang perseorangan.



SUMBER: BUKU PANDUAN KAJIAN SEJARAH TEMPATAN SEKOLAH MENENGAH RENDAH PUSAT PERKEMBANGAN KURIKULUM KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2002