BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, November 16, 2006

Cakap-cakap: Memperjuangkan Bahasa atau Kepentingan Bahasa

Perjuangan harus berteraskan kepada realiti. Dalam apa jua keadaan pun. Bahasa tidak perlu diperjuangkan jika tidak ada kepentingannya. Jika tidak ada fungsi atau gunanya sesuatu perkara itu, maka tidak wajarlah perkara tersebut diperjuangkan.

Apabila menyebut soal memperjuangkan Islam, ramai orang mengaku diri mereka memperjuangkan Islam. Serata dunia, muncul para pemimpin, ahli politik, penduduk tempatan, malah mahasiswa yang mengatakan diri mereka sebagai pejuang Islam.

Apakah Islam itu yang diperjuangkan atau kepentingan Islam itu sendiri yang diperjuangkan? Definisi memperjuangkan Islam itu menjadi kabur. Apa pula definisi memperjuangkan? Islam itu tidak akan diperjuangkan jika ia bukan nama yang mewakili suatu agama. Islam itu diperjuangkan kerana kepentingannya, kebaikan yang terkandung dalam Islam itu sendiri. Ini secara logiknya dan logik ini benar sama sekali dan wajib dipercayai oleh seluruh umat Islam. Maka apabila menyebut memperjuangkan Islam secara langsungnya harus diingat bahawa apa yang diperjuangkan itu ialah memperjuangkan kepentingan Islam. Apakah pula definisi kepentingan? Saya berhenti di sini. Kembali semula kepada tajuk.

Bagaimana pula dengan Bahasa Melayu? Wajarkah Bahasa Melayu diperjuangkan, atau kepentingan Bahasa Melayu diperjuangkan. Kenapa orang menyebut memperjuangkan bahasa, bukan memperjuangkan kepentingan bahasa. Justeru, dapat dilihat di sini bahawa makna memperjuangkan itu sendiri telah tersarat suatu elemen kepentingan, tidak ternilai, kebaikan yang terdapat dalam perkara yang diperjuangkan itu.

Maka saya beranggapan bahawa perbuatan memperjuangkan Bahasa Melayu itu pada dasarnya membawa maksud melindungi, menjaga, mengangkat, menghargai, menghormati, memuliakan, mengagungkan dan menyerlahkan kepentingan Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu tidak akan kelihatan penting jika tidak digunakan dalam apa jua urusan pun. Bahasa Melayu itu tidak akan menjadi penting jika tidak menjadi syarat dalam apa perkara kebaikan pun. Bahasa Melayu itu tidak akan menjadi penting jika tidak dapat membantu menyebarkan ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu tidak akan menjadi penting jika tidak dapat memperluaskan kuasa, pengaruh sesuatu bangsa. Bahasa Melayu tidak akan menjadi penting jika tidak dapat mengubah sesuatu yang buruk itu menjadi baik dan sesuatu yang baik itu menjadi lebih baik.

Ini cuma sekadar pandangan peribadi saya. Sekian.

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com