BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Oktober 04, 2006

Si Monyet dan Si Darwin

Malam itu, aku di makmal sains, meneliti rekod-rekod pencapaian beberapa orang anak muridku. Antaranya si H. Pencapaiannya untuk beberapa subjek merosot teruk sejak akhir-akhir ini. Buku-buku laporan itu aku dapatkan daripada seorang guru di situ. Dia bertugas sebagai guru bagi subjek matematik untuk si H.

Aku meneliti tahun terakhir aku mengajarnya. Bulan terakhir aku berada di sini. Tampak di situ, ada kemerosotan selepas ketiadaanku. Mungkin kerana ketidakbiasaan anak-anak muridku dengan cara pengajaran guru baru?

Sedang aku asyik mendiagnostik kelemahan anak muridku itu, beberapa orang muridku yang kini belajar dalam tingkatan satu mendekatiku. Mereka telah tamat mengaji Al-Quran. Malam itu sememangnya malam khas untuk mengaji Al-Quran. Tidak ada kelas prep.

Aku menutup nama si H dan terus menyemak rekod-rekod dan laporan-laporan guru untuknya pada bulan-bulan lalu. Mencari punca kelemahan anak muridku yang seorang ini. Si F dan si Z melihat buku-buku laporan di atas meja, seterusnya menjenguk ke buku laporan si H yang sedang kuteliti.

"Cikgu, saya tahu, ini mesti buku si O." Si F meneka.

Aku menidakkan. Sememangnya itu bukan buku laporan si O.

"Sudah habis bacaan Al-Quran? Belum pergi makan?" Aku mengalih topik. Minta tidak diganggu.

"Sudah. Sekejap lagi saya pergi makan."

Jadual makan selepas kelas prep agak ketat. Pekerja-pekerja kantin biasanya akan bungkus awal. Pelajar yang terlambat tidak akan dapat makan. Seorang anak muridku pernah mengadu akan hal ini kepadaku. Aku menggesa anak-anak muridku mematuhi jadual waktu jika tidak mahu kelaparan.

Si F meneliti pada kadbod-kadbod informasi yang tertampal di dinding makmal. Dia bertanya kepadaku, "Cikgu, manusia berasal daripada monyet, kan?"

"Tidak. Manusia berasal dari tanah. Adam dan Hawa nenek moyang kita." Aku menjelaskan, ringkas dan bersahaja.

"Tetapi di dinding itu mengatakan manusia berasal dari monyet." Si F menunjukkan ke arah kadbod di dinding tersebut.

"Itu Teori Darwin. Sudah ditolak lama dulu. Dia ditertawakan kerana teori itu. Mana mungkin manusia berasal dari beruk? Di dalam Al-Quran, kitab yang kamu baca tadi, sudah menjelaskan. Itu adalah surat cinta Tuhan kepada kita, dan kita wajib beriman dan mempercayainya." Aku menutup buku laporan si H. Kemudian mencapai buku laporan pelajar yang lain pula.

"Bodoh betul si Darwin itu." Si F merungut-rungut.

Aku tersenyum. Si Z diam dan memerhatiku dengan kerjaku.

"Makan malamnya tidak akan menunggu kalian."

Anak-anak muridku lantas bersalaman denganku, mencium tanganku sebelum meminta izin untuk ke kantin. Aku terus meneliti buku-buku laporan anak-anak muridku.

Sudah sekitar dua tahun aku tidak mengajar mereka, selepas aku kembali bergelar pelajar di universiti. Si H, Si T, Si R, Si O, Si itu dan Si ini, sudah mengubah sifat daripada kanak-kanak comel kepada remaja yang unik sifatnya setiap satu. Begitu juga si Z, gadis ini yang dahulunya nakal dan sering ketawa di dalam kelas kini sudah berubah menjadi ayu dan pemalu. Sayang sekali, pencapaian akademik mereka tidak ada peningkatan yang menggalakkan. Cuma seorang, si P, salah seorang anak didik yang rapat dan sering menemuiku bertanyakan soalan dua tahun lalu, walaupun masih agak kebudak-budakan, tetapi kepintarannya boleh dipuji. Dalam masa seminggu ini aku akan mengubah sesuatu. Menjadikan ia lebih baik.