BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Oktober 30, 2006

Rumah Anak Yatim

4 Oktober 2006, ini tarikh aku pergi ke Rumah Anak-anak Yatim. Bas bergerak menuju ke bandaraya sekitar jam 10 pagi. Di pertengahan jalan, hujan rahmat turun mencurah-curah, dengan khabar sejuk dingin memercik di pantai. Berhenti sebaik-baik sahaja tiba di bandaraya.

Aku meneruskan perjalananku dengan teksi. Melalui jalan yang penuh dengan debu. Satu projek besar yang bakal melibatkan hubungan dwi-negara berlangsung di sini. Nun, di atas bukit, tersergam indah rumah yang mahu kukunjungi.

Aku melangkah ke pejabat pengurusan. Penaungnya adalah Baginda Sultanah. Beberapa anak yatim lantas mendekati, bersalam dan mencium tanganku. Aku menemui seorang kakak. Rupawan juga. Lalu menyatakan hajatku untuk menyumbangkan tenaga sebagai pengajar di sini. Sukarelawan. Perbincangan kami sekali-sekala diganggu dengan kunjungan dermawan-dermawan. Sekali sekala, anak-anak yatim berjalan ke sana dan ke mari di dalam bilik pejabat itu. Meriah suasananya. Biar jauh di ceruk bukit. Di pinggir bandaraya.

Soalan pertama yang kutanya ialah bilangan pelajar SPM di rumah ini. Cuma tiga orang. Syukur, tugasku akan menjadi mudah. Sebenarnya sejak aku tidak dapat pergi berulang 100-200 kilometer ke sekolah itu, sejak kekurangan budget, aku tiba-tiba terfikir. Kenapa aku boleh meluangkan masa ke sana, tidak pula di sini. Anak-anak ini masih bernasib kurang baik. Anak-anak yang tinggal di asrama itu ada tajaannya. Anak-anak di sini cuma mengharap bantuan ikhlas dan ehsan orang ramai.

Aku mengira baki wang yang boleh digunakan untuk tujuan berulang ke rumah anak-anak yatim ini. Cukup untuk bulan ini. Sehingga sebelum hari raya menjelang. Ya, lagi pun selepas hari raya, anak-anak ini perlu berdepan dengan SPM. Maka tidak perlu kupergi lagi. Biarlah mereka menenangkan diri dengan cara sendiri pada waktu itu.

Aku berjalan kaki pulang, menuju ke pusat bandar. Kira-kira 300 meter. Nasib baik matahari tidak begitu baran dan geram pada waktu tengah hari ini. Walau pun bahang dan wap hujan masih kelihatan di jalan-jalan. Juga bernasib baik tidak ada anjing liar.

Aku pernah diserang dua ekor anjing liar. Serentak. Sejak itu aku tidak boleh didekati anjing. Namun hari ini laluanku cukup baik.

Sampai di sebuah pusat membeli-belah, aku mengunjungi sebuah kedai buku. Di situ aku singgah sekejap meneliti beberapa buah buku yang boleh digunakan untuk tujuan mengajar. Aku meneliti satu buku yang bagus. Mengambilnya. Berjalan-jalan lagi, dan menemui sebuah lagi buku yang bagus. Ku ambil lagi. Lalu aku berjalan-jalan lagi. Sebuah buku yang agak tebal tetapi ada beberapa helaiannya yang menarik minatku. Harganya? Ya, aku tidak mampu.

Lalu aku duduk menyalin. Yang aku salin itu adalah skema permarkahan untuk Bahasa Melayu SPM. Mungkin berguna untuk anak-anak muridku. Itu sahaja yang aku mahu dari buku itu. Tiba-tiba seorang jurujual datang kepadaku sambil tersenyum. Bercakap dalam bahasa orang putih, dia menegurku. Katanya tidak dibenarkan menyalin keluar apa-apa isi kandungan buku dalam apa cara pun. Aku berterima kasih atas teguran itu dan membatalkan niatku. Buku itu walau bagaimana pun kuteliti buat kali terakhir. Menghafal dua tiga helai. Kemudian meletakkan kembali. Itu sahaja yang aku mahu dari buku itu. Bagus sikap jurujual itu, berhemah, sopan santun dalam menegur. Tidak memalukan pelanggan yang datang berkunjung ke kedainya. Kalaulah semua jurujual di Malaysia seperti ini. Amanah. Tentu lebih ramai pelancong asing akan datang ke Malaysia. Ini juga salah satu kekuatan negara Thai. Budi bahasa penjual berjaya memancing keuntungan kepada rakyat dan negara. Sayang sekali perang telah meletus di sana.

Tiba-tiba aku tergerak hati untuk mengunjungi Gerai Baulu Butter. Aku melihat satu bekas plastik besar berisi baulu. Kemudian aku melihat lagi, ada banyak bekas-bekas plastik kecil berisi baulu yang sama.

"Ini berapa harganya?"

"Itu tidak dijual. Itu untuk anak-anak yatim." Jawab Abang Uda.

"Rumah Barkat?" Aku mengagak.

"Ya! Kamu dari rumah barkat?" Giliran Abang Uda mengagak.

"Ya."

"Sebagai apa?"

"Saya mohon mengajar di sana. Suka-suka sahaja. Bukan guru tetap."

Senang sekali Abang Uda mendengarnya. Kami berborak-borak. Ketika itu datang beberapa pelanggan. Selepas urus jual beli. Kami berbual-bual lagi. Seronok mendengar bicara Abang Uda mengenai keikhlasan dalam berniaga. Keikhlasan dalam mengajar.

Aku sudah menambah kenalan lagi hari ini. Tengah hari itu aku berangkat pulang. Hari ini sungguh menceriakan.

"Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baik dan juga kamu bergaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu adalah saudara-saudara kamu (yang seagama) dan Allah mengetahui akan orang- yang merosakan (harta benda mereka) daripada orang ynag hendak memperbaikannya dan jika Allah menghendaki tentulah is memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah maha kuasa lagi maha bijaksana."- Al-Baqarah: 220

Rasullah S.A.W bersabda: "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim adalah di dalam syurga seperti ini. Sambil baginda menunjukkan dengan kedua-dua jarinya - (jari telunjuk dan jari tengah yang dirapatkan)."


Maka aku menyeru saudara-saudaraku... sesungguhnya pengalaman yang akan kalian perolehi menerusi bakti dan hati yang sukarela itu akan mencetus ketenangan dalam jiwamu...