BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 05, 2006

Mengikat Perut

'Percutianku' menuntut wang yang agak banyak. Sebenarnya persediaan untuk' bercuti' juga menuntut wang yang banyak. Aku kira sekitar dua ke tiga ratus ringgit wang sakuku telah kuhabiskan untuk tujuan 'percutian' dan 'pra-percutian'. Pra-percutian? Apa yang kumaksudkan di sini ialah wang yang kuhabiskan setiap minggu untuk berulang alik dengan jumlah jaraknya sekitar 200 kilometer. Pergi dan pulang pada hari yang sama.

Semasa 'bercuti', aku jarang sekali menghadap nasi. Oat, kismis dan kurma menjadi pilihan utama. Setiap kali sebelum menghadiri kelas prep, aku mengisi perutku dengan segelas oat. Kutuangkan air panas dan kutambah milo paket. Kemudian aku menelan beberapa biji kismis dan kurma. Pernah juga aku mengikat perutku dari memakan apa-apa.

Seringkali anak-anak muridku yang suka bermain gelungsur di teres-teres bukit berhampiran asrama, akan berhenti seketika apabila melihat ada satu lembaga di dalam bilik yang bercahaya. Murid-murid baru akan bertanya,"Siapakah itu di dalam bilik warden?"

Murid-murid lama akan menjawab,"Itu Cikgu Amien."

Kadangkala anak-anak muridku mengajakku makan di kantin. Aku keberatan, sebab makanan yang disediakan itu sepatutnya untuk pelajar, bukannya guru.

Namun mak cik kantin di situ cukup memahamiku. Dia tahu aku sukarelawan datang ke sekolah ini untuk mengajar tanpa dibayar apa-apa. Malah telah mengorbankan jumlah wang yang agak besar untuk datang ke mari untuk mengajar. Juga wang untuk membeli buku-buku rujukan terkini bagi memudahkan aku mengajar anak-anak muridku. Wang sakuku yang sepatutnya digunakan untuk mengisi perutku di universiti habis untuk membesarkan anak-anak di sini dari aspek intelek dan akademiknya. Aku tidak mengharap wang dari pihak sekolah. Ada penginapan sudah mencukupi. Ketua warden malah membenarkan aku untuk berada di sekolah ini seberapa lama yang aku mahu. Sebab aku adalah sebahagian daripada 'keluarga' besar di sekolah ini.

Kadangkala guru-guru di sekolah belanja aku makan di kafe guru pada waktu tengah hari. Aku mengambil peluang ini untuk bertanya khabar, mengetahui perkembangan, perubahan sistem persekolahan, juga hal-hal semasa.