BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, September 18, 2006

Mesej Daripada Amiene Rev

Terima kasih kepada pihak MsjBox kerana mengiktiraf saya sebagai Pengkritik Blog Tetap MsjBox sebelum ini.

Nampaknya sejak beberapa minggu yang lepas, sistem di tempat saya terus menerus menyekat laluan ke mana-mana blog atau friendster. Antara laman yang telah disekat ialah blogspot, blogdrive dan beberapa laman blog yang lain. Friendster dan myspace juga disekat kecuali pada masa-masa tertentu, selepas waktu pejabat. Namun laman blog disekat terus!

Bak kata, ada orang tidak senang melihat pencapaian orang lain sama ada secara sengaja atau pun tidak. Oleh itu pelbagai cara boleh dibuatnya. Tindakan yang tidak matang. Perbuatan menyekat laluan ke blog adalah suatu perkara yang merugikan pihak, sebab ada banyak pandangan tokoh-tokoh tempatan dan luar negara yang turut sama menulis blog tidak dapat dibaca lagi.

Agak mengecewakan sebab saya tidak boleh lagi meneliti rekabentuk, mengkaji kod dan skrip, mempelajari sistem jaringan dan memberi pandangan saya terhadap blog-blog di Malaysia ini.

Jadual harian saya terlalu padat untuk membolehkan saya keluar ke pusat-pusat siber berdekatan. Buat masa ini saya tidak dapat memenuhi permintaan blogger-blogger untuk mengulas dan mengkritik blog mereka, haraf maaf.

Kajian terhadap potensi blog sebagai penyampai ilmu pengetahuan juga terpaksa ditangguhkan disebabkan masa tidak mengizinkan untuk saya keluar ke kafe-kafe siber berdekatan. Namun itu bukan alasan untuk saya berhenti begitu sahaja, bahagian-bahagian lain dalam kajian ini masih boleh diteruskan. Saya akan meneruskan projek penulisan saya berkaitan dengan grafik dengan metodologi berdasarkan prinsip andragogi. Juga meneruskan kerja-kerja penulisan saya dalam bidang-bidang lain. Masa yang digunakan sebelum ini untuk meneliti, mempelajari, memahami dan mengulas blog orang lain telah digantikan dengan penulisan akademik saya secara tetap. Doakan semoga saya berjaya menghasilkan penulisan akademik dan intelektual yang berkualiti untuk kegunaan ramai, khususnya pelajar-pelajar saya.

Tidak lupa kepada anak-anak murid saya, teruskan belajar. Percutian saya telah tamat. Sudah tidak dapat mengajar mereka lagi. Orang bercuti balik kampung, saya bercuti balik ke sekolah untuk mengajar. Tak apa, mak ayah, raya nanti saya jenguk-jenguk ke kampung. Anak lelaki tidak sah kalau tidak merantau. Hobi saya merantau. Sambil merantau, sambil belajar dan sambil mengajar. Biar beratus-ratus kilometer sekali pun, duit yang saya gunakan adalah duit hasil karya-karya saya. Pada suatu hari nanti saya akan kembali ke tempat asal saya juga.

Kepada pembaca-pembaca blog ini, sekiranya anda mendapat sesuatu yang berguna dalam blog ini, terima kasih kerana mempraktik dan menyebarkannya. Ada juga keberkatan saya menulis dalam blog ini selama ini. Ramai orang tidak tahu potensi sebenar blog, namun, suatu ketika nanti mereka akan tahu juga.

Saya harap para blogger akan sedar kenapa saya menggalakkan penulis blog supaya menyampaikan isi kandungan mereka dengan menggunakan Bahasa Melayu yang rasmi... suatu hari nanti mereka akan tahu dan memahaminya.

Salam hormat... sampai berjumpa lagi pada masa akan datang.